Jun 27, 2026 - FASKelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) hari ini mengumumkan perpisahan bersama 11 pemain yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan Gergasi Merah, mengharumkan nama kelab menerusi dedikasi, semangat juang dan komitmen tidak berbelah bahagi yang dipamerkan sepanjang menyarung jersi Merah Kuning.
Musim berganti, pasukan berubah, dan perjalanan setiap pemain akhirnya membawa mereka ke haluan yang berbeza. Menjelang musim 2025/26, Selangor FC mengucapkan selamat tinggal kepada 11 pemain yang tidak akan bersama kelab iaitu Mamadou Diarra, Samuel Somerville, Mohammad Abualnadi, Fazly Mazlan, Kim Ji-ho, Jeon Seung-min, Harry Danish, Mahame Siby, Raimi Shamsul, Picha Autra dan Omid Musawi.
Berikut merupakan statistik mereka sepanjang menyarung jersi Merah Kuning:
Mamadou Diarra: Menyertai Selangor FC pada 6 November selepas penutupan jendela perpindahan, beliau mencatat 27 penampilan dengan 2,141 minit permainan serta 1 gol dan 1 bantuan jaringan. Diarra menonjol dengan dominasi fizikalnya, memenangi 58 daripada 98 duel yang dihadapinya. Selain itu, beliau juga dikenali dengan kepimpinan dan semangat juang tinggi di benteng pertahanan, membantu mengukuhkan barisan belakang pasukan dengan kestabilan, ketegasan dan ketepatan membaca permainan.
Samuel Somerville: Berjaya mencatat 51 penampilan bersama Gergasi Merah sejak musim 2022, dengan 4,201 minit permainan serta 19 ‘clean sheets’. Antara aksi terbaiknya adalah dalam perlawanan Liga Super 2023 menentang Kedah Darul Aman FC apabila beliau melakukan beberapa penyelamatan penting untuk memastikan kemenangan 1-0 yang membantu laluan Selangor ke ACL Two. Beliau juga menghasilkan antara aksi paling diingati pada Julai 2024 menentang KL City FC dengan melakukan double save luar biasa yang membawanya meraih anugerah Malaysia Airlines Flying Saves bagi Minggu Perlawanan 9 Liga Super Malaysia.
Mohammad Abualnadi: Mencatat 53 penampilan dengan 3,502 minit permainan serta 3 bantuan jaringan. Beliau cemerlang dalam kempen AFC Champions League Two 2025/26, khususnya dalam perlawanan berintensiti tinggi kebolehannya bertahan dan membaca permainan menjadi aset penting perjalanan pasukan sepanjang musim. Pada masa sama, prestasi bersama kelab turut membantu beliau mengukuhkan tempat dalam skuad kebangsaan Jordan untuk Piala Asia dan kelayakan Piala Dunia.
Fazly Mazlan: Pemain senior yang dihormati di bilik persalinan Selangor FC ini mencatat 94 penampilan dengan 5,813 minit permainan serta 2 bantuan jaringan. Beliau menjadi tunjang utama di posisi bek kiri khususnya pada musim 2022 dan 2023 dengan disiplin bertahan yang tinggi serta keupayaan mengekang ancaman pemain sayap lawan, sekali gus mendapat panggilan semula ke skuad kebangsaan. Antara aksi terbaiknya adalah ketika menentang Lion City Sailors dalam ACC Shopee Cup™, di mana beliau memainkan peranan penting menutup ruang serangan lawan dan membantu pasukan kekal kompetitif di pentas serantau.
Kim Ji-ho: Aksi ‘breakthrough’ menentang Kelantan The Real Warriors FC menjadi detik paling menyerlah dalam karier Kim Ji-ho bersama Selangor FC, apabila beliau mencatat 1 gol dan 1 bantuan jaringan dalam perlawanan pertama beliau disenaraikan dalam kesebelasan utama. Sumbangan itu menjadi bukti impak besarnya walaupun hanya merekodkan 13 penampilan dan 370 minit permainan sepanjang musim.
Jeon Seung-min: Menyertai Selangor FC dan mencatat 2 penampilan dengan 117 minit permainan serta 1 bantuan jaringan sepanjang tempoh bersama Gergasi Merah. Dibawa masuk pada pertengahan musim namun nasib kurang menyebelahi beliau selepas mengelami kecederaan yang agak lama. Beliau sempat beraksi dalam perlawanan menentang PDRM FC dan membuat satu bantuan goal serta Perlawanan Akhir ASEAN Club Championship (ACC) menentang Buriram United.
Harry Danish: Perkembangan dari pasukan pembanggunan ke skuad senior menjadi pencapaian utama Harry Danish, yang mencatat 10 penampilan bersama Selangor FC. Laluan konsisten beliau bersama skuad pembangunan membuka peluang beraksi di Liga Super serta satu penampilan gantian dalam AFC Champions League Two (ACL2).
Mahamé Siby: Mencatat 3 penampilan dengan 44 minit permainan selepas membuat penampilan sulung bersama Selangor FC pada 10 Januari 2026. Walaupun tempoh bersama pasukan agak singkat, beliau tetap memberikan komitmen di bahagian tengah padang dan memainkan peranan dalam mengekalkan keseimbangan pasukan apabila diberi peluang untuk beraksi.
Raimi Shamsul: Laluan dari skuad B20 dan B23 ke pasukan senior menjadi detik penting dalam perjalanan Raimi Shamsul bersama Selangor FC, yang berjaya mencatat 10 penampilan selepas menarik perhatian barisan kejurulatihan. Perkembangan beliau termasuk debut senior dalam aksi Piala FA menentang Malaysian University, diikuti pendedahan di pentas AFC Champions League Two serta aksi penting menentang Sabah FC dan Cebu FC.
Picha Autra: Impak di bahagian serangan sebelum perpindahan pinjaman ke Bangkok United FC menjadi sorotan utama Picha Autra, yang mencatat 1 gol dan 1 bantuan jaringan dalam 14 penampilan. Beliau membuat debut menentang Johor Darul Ta’zim sebelum menjaringkan gol pertama dalam kemenangan 5-1 ke atas Penang FC.
Omid Musawi: Kebangkitan dari skuad U23 ke pentas senior menyerlah apabila Omid Musawi mencatat 3 bantuan jaringan dalam 12 penampilan bersama Selangor FC. Aksi terbaiknya hadir menentang Cebu FC dalam saingan AFC Champions League Two apabila beliau menjadi antara penggerak utama serangan dan dinobatkan sebagai Star of the Match.
Terima kasih atas segala jasa, komitmen dan pengorbanan yang dicurahkan sepanjang bersama Merah Kuning. Walaupun haluan selepas ini membawa anda ke destinasi berbeza, sumbangan dan kenangan yang ditinggalkan akan kekal sebagai sebahagian daripada sejarah Selangor FC. Seluruh warga kelab mendoakan agar anda terus melakar kejayaan dalam perjalanan karier masing-masing. Sekali Gergasi Merah, selamanya Gergasi Merah. #ForeverRed
Demi Kebanggaan!